Moh aokme ambil dos penggalak

Moh aokme ambil dos penggalak

KUANTAN: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang meminta individu yang sudah menerima dua dos vaksin dapat mengambil dos penggalak.

Pengarahnya, Dato’ Dr Nor Azimi Yunus, berkata sebaiknya apabila menerima notifikasi daripada MySejahtera dan menerima panggilan, mereka perlu ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang dibuka di seluruh Pahang.

Katanya, sekiranya tidak menerima notifikasi, orang ramai boleh datang ke PPV secara terus tanpa temu janji.

“Sehingga semalam, 380,002 individu atau 36.2 peratus daripada 1,017,745 orang di Pahang sudah melengkapkan pengambilan dos penggalak dalam Program Pemberian VDP.

“Sehingga ini, 207 PPV dibuka di seluruh Pahang untuk meningkatkan pencapaian VDP itu. Berdasarkan kemudahan yang disediakan itu, lebih 20,000 kapasiti dos vaksin boleh dilakukan sehari,” katanya.

Dr Nor Azimi berkata demikian kepada media selepas meninjau program pemberian VDP Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk pelatih orang kurang upaya (OKU) dengan kerjasama JKN Pahang di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kompleks Penyayang, di sini. 

Sekurang-kurangnya 44 OKU menerima suntikan dos penggalak masing-masing pada program berkenaan. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN