KUANTAN: Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) mempergiatkan kempen `Katakan Tidak Pada Beg Plastik Sekali Guna’ sempena Ramadan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Mohd Zain Hassan, berkata kempen itu antara usaha berterusan Alam Flora ke arah menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan alam sekitar yang bersih dan kehidupan lestari.
Katanya, ia juga selaras dengan matlamat kerajaan mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SONG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjelang 2030.
“Ini kerana plastik memerlukan antara 400 sehingga 1,000 tahun untuk diuraikan secara semulajadi.
“Saya akui bukan mudah sebagai pengguna untuk membawa sendiri beg guna semula atau bekas makanan ke bazar Ramadan tetapi yakin dengan kempen dan program kesedaran berterusan daripada Alam Flora.
“Ia mampu memberi kesedaran mengenai kesan plastik sekali guna terhadap pencemaran alam,” katanya pada Kempen `Katakan Tidak Pada Beg Plastik Sekali Guna’ dan pengagihan seribu bubur lambuk di Bazar Ramadan Mahkota Square, di sini, petang semalam.
Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Dato’ Hamdan Hussin.
Sementara itu, Hamdan berkata, usaha yang dilakukan Alam Flora adalah tepat dalam usaha menjaga alam sekitar.
Katanya, kempen itu juga diharap mendidik masyarakat dalam memberikan kesedaran dalam peringkat umur.
“Di Kuantan, MBK turut melancarkan pelbagai program kesedaran iaitu di pasar malam, pasar tani, pasar Ramadan yang berkonsepkan lestari dan pintar,” katanya.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN