Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@gmail.com
PEKAN: Kolej Komuniti Pekan memberi bantuan keperluan asas kepada kira-kira seratus ibu tunggal yang juga ketua isi rumah (KIR) ibu tunggal di daerah ini, di sini, semalam.
Pengarahnya, Mohammad Azwan Ja’afar berkata, agihan secara pandu lalu itu pertama kali dianjurkan pihaknya bertujuan meringankan beban golongan terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Program agihan makanan yang julung kali diadakan ini sebagai bukti prihatin kami pada golongan ibu tunggal,” katanya.
Program ringkas itu disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Noranyza Mohamad Yusoff di pekarangan Kolej Komuniti Pekan.
Turut sama hadir Pengerusi Kolej Komuniti Pahang, Shuhaila Ibrahim dan Pengerusi
Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) dan Ibu Tunggal Pahang, Dato’ Melati Ali.
Mohammad Azwan berkata, pihaknya bercadang meneruskan program itu dalam usaha membantu golongan memerlukan.
Sementara itu, Melati berkata, dia mewakili penerima mengucapkan terima kasih pada Kolej Komuniti Pekan yang bermurah hati memberi bantuan keperluan asas kepada 100 ibu tunggal.
“Bantuan berkenaan besar ertinya pada penerima yang kebanyakan terdiri daripada warga emas,” katanya.