Moh belajor dengor siren amaran bencana

Moh belajor dengor siren amaran bencana

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar dan video Mustaffa Kamal

KUANTAN: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang kini giat mendidik masyarakat di negeri ini supaya peka dan faham mengenai beberapa jenis sistem amaran berkaitan bencana.

Pengarahnya, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, berkata ini bagi membolehkan orang awam tahu bagaimana untuk bertindak sebaik amaran dikeluarkan bagi melindungi diri mereka daripada musibah.

Beliau berkata, antara bentuk amaran yang boleh dipraktikkan ialah penggunaan siren Sistem Amaran Awam (PWS).

“PWS dibawa masuk oleh pihak British pada 1952 lagi dan pengoperasian siren ini kini dipertanggungjawabkan kepada APM yang mana setiap negeri mempunyai satu unit untuk digunakan sebagai amaran bencana.

“Walaupun kemajuan teknologi kini membolehkan pihak berkuasa mengguna pakai pelbagai teknologi baru sebagai sistem amaran, PWS masih lagi relevan untuk digunakan, contohnya ketika berlaku masalah gangguan elektrik dan Internet,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas memantau ujian PWS di pejabat APM Pahang di Jalan Beserah di sini, hari ini.

Menerusi ujian itu, tiga siren PWS yang dikendalikan APM Zon Timur diuji dalam tempoh kira-kira lima minit bagi memastikannya berfungsi dengan baik.

Siren nada panjang dan berterusan yang dibunyikan adalah bertujuan amaran supaya orang ramai keluar segera dari bangunan atau memberhentikan kenderaan dan berkumpul di tempat sepatutnya. 

Sementara itu, siren nada beralun dan berterusan pula menandakan orang ramai perlu masuk segera ke dalam bangunan, struktur yang kukuh dan terlindung atau kawasan tinggi. 

Mengulas lanjut, Che Adam berkata, ujian berkenaan pertama kali diadakan dan APM Pahang menjadi tuan rumah untuk Zon Timur.

“PWS mampu didengari antara tiga hingga lima kilometer (km) dari tempat ia dioperasikan dan selalunya diletakkan di tempat tinggi, antaranya bukit atau tingkat atas bangunan.

“Sistem siren ini tidak hanya berperanan memberi amaran melibatkan bencana alam, malah difungsikan untuk keselamatan seperti serangan udara, ketenteraman awam dan keselamatan,” katanya. 

Menurutnya, orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai sistem berkenaan boleh melayari laman web https://www.civildefence.gov.my/blog/poster-siapsiaga/sejarah-pws-jpam/.

“Di laman web berkenaan, anda boleh mendengar sendiri jenis alunan siren untuk memahami fungsinya sekali gus faham apa yang perlu dilakukan,” katanya.