KUANTAN: Kerajaan Pahang berharap agensi penguat kuasa negeri dapat bekerjasama membendung kegiatan menceroboh hutan.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk memastikan kelestarian alam sekitar tidak digugat dengan pelbagai aktiviti yang menyalahi undang-undang.
“Sebagai contoh kegiatan melombong emas tanpa lesen bukan sahaja menyebabkan berlakunya kejadian hakisan dan pencemaran sumber air, tetapi turut menyebabkan kerugian hasil kepada kerajaan negeri.
“Tindakan tegas perlu diambil kerana pihak terbabit melakukan pencemaran, kemusnahan alam sekitar dan perbuatan mereka menimbulkan masalah kepada banyak pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas kejayaan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menumpaskan kegiatan melombong emas secara haram di Hutan Simpan Ulu Jelai, Lipis, 16 Ogos lalu.
Serbuan dilakukan Unit Penguatkuasa JPNP Zon Barat dan Unit Tindakan Khas (UTK) Pejabat Hutan Daerah (PHD) Lipis bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dan polis. – MOHD IMRAN IZZAD