KUANTAN: Semua umat Islam di Pahang diminta mendaftar dan mendapatkan suntikan vaksin dalam usaha memutuskan rantaian pandemik COVID-19.
Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Dr Zulkifle Ali berkata, pengambilan suntikan vaksin itu diharap dapat menjaga diri, keluarga dan masyarakat daripada dijangkiti virus terbabit.
“Oleh itu, saya menyeru kepada semua umat Islam di Pahang terutama kepada semua pegawai masjid seperti imam, bilal, siak, ahli jawatankuasa dan jemaah supaya bersama-sama mendaftar dan mendapatkan suntikan vaksin.
“Pada masa sama, Penggerak Masyarakat Orang Asli, guru Sekolah Menengah Agama Negeri Pahang, Takmir dan Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) juga turut sama mendaftar,” katanya menerusi hantaran di Facebook JAIP, hari ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Dato’ Sri Shahiruddin Ab Moin turut merayu lebih 70,000 penduduk di Raub berumur 18 tahun mendaftar suntikan vaksin dengan segera.
Katanya, pendaftaran itu perlu kerana wabak terbabit semakin mengganas dan membimbangkan.
“Saya merayu kepada lebih 70,000 penduduk berumur 18 tahun ke atas yang bermastautin di Raub agar membuat pendaftaran suntikan vaksin dengan segera,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya.