PEKAN: Jabatan Pertanian Pahang menerusi Pejabat Pertanian Daerah Pekan, mempelawa mereka yang berminat untuk menyertai Projek Tanaman Halia di Pusat Pertanian Permatang Pauh di sini.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Pejabat Pertanian Daerah Pekan memaklumkan, permohonan dibuka kepada orang ramai untuk menjadi usahawan tanaman halia secara fertigasi.
“Pemohon mestilah terdiri daripada warga Malaysia berusia 18 tahun ke atas, mempunyai modal mencukupi, berminat dan mempunyai pengalaman dalam penanaman halia fertigasi serta mematuhi paraturan ditetapkan Jabatan Pertanian Pahang.
“Permohonan boleh dibuat secara individu atau syarikat yang berdaftar dengan SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia),” petik hantaran itu.
Difahamkan, tarikh tutup permohonan adalah pada 1 September ini dan borang permohonan boleh didapati di Pejabat Pertanian Daerah Pekan. – HELMY ABD RAHMAN