Moh ke Pasar Tani UTC ambil bubur lambuk 

Moh ke Pasar Tani UTC ambil bubur lambuk 

KUANTAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Daerah Kuantan akan mengadakan program pengagihan 14 kawah bubur lambuk sempena Ramadan al-Mubarak di Pasar Tani Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan, Ahad ini.

Pengarah FAMA Pahang, Saiful Sadri berkata, kira-kira RM10,000 disediakan untuk menjayakan program itu yang menjadi antara program tradisi FAMA ama Pahang, sejak lebih 10 tahun lalu.

Menurutnya, lebih tujuh ribu pengunjung pasar tani UTC Kuantan berpeluang membawa pulang bubur lambuk yang diagihkan oleh penganjur bermula kira-kira 10 pagi.

“Kita mendapat tajaan gas memasak daripada Petronas, beras pula disumbangkan oleh Mumtaz Iman Sdn Bhd manakala bekalan air serta tangki oleh Pengurusan Bekalan Air Pahang Berhad (PAIP) Daerah Kuantan.

“Penganjur juga akan mengagihkan kurma kepada peniaga pasar tani sempena menyambut Ramadan,” katanya, di sini, hari ini.-  MOHD IMRAN IZZAD.