Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@gmail.com
KUANTAN: Seramai 70 peserta mengunakan 23 kenderaan akan menyertai Program Eksplorasi Komuniti (X-Com) Moh Kenali Komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) Pahang, Sabtu ini.
Program anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang itu julung kali diadakan dengan penyertaan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), media dan pasukan keselamatan.
Pengarah JKM Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin, berkata pelepasan konvoi akan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin di bengkel sampul surat Sungai Lembing, di sini.
“Program ini adalah kempen kesedaran terhadap kepentingan mendaftar golongan OKU bagi membolehkan mereka mendapat perkhidmatan sesuai dengan keperluan mengikut tahap ketidakupayaan masing-masing,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, konvoi X-Com akan singgah di beberapa tempat terpilih bagi tujuan lawatan dan taklimat berkaitan program serta aktiviti intervensi selain pembangunan OKU.
“Selain bengkel sampul surat Sungai Lembing, rombongan turut singgah di Kedai runcit EFG Maju Enterprise milik usahawan OKU dan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Tunas Sri Teruntum.
“Lawatan turut diadakan di Pahang Medical Centre (PMC) yang merupakan hospital swasta yang menepati piawaian audit akses aksesibiliti OKU,” katanya.
Beliau berkata, peserta program turut diberi taklimat oleh pegawai Jabatan Belia dan Sukan berkaitan program pembangunan sukan OKU dan kisah kejayaan atlet paralimpik.
Tambahnya, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPN) Pahang akan turut memberi penerangan berkaitan pendidikan vokasional disediakan kepada OKU di negeri ini.
“Saya berharap program julung kali diadakan ini mencapai matlamat penganjuran dalam usaha kerajaan membela nasib golongan OKU disemua peringkat usia dan kecacatan.
“Semoga masyarakat dapat turut sama membela nasib golongan OKU yang sentiasa memerlukan sokongan,” katanya.