Moh kita ke Mini Karnival Usahawan Desa di Lipis

Moh kita ke Mini Karnival Usahawan Desa di Lipis

LIPIS: Lebih seratus usahawan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Majlis Daerah Lipis berpeluang menjual produk mereka dalam program Mini Karnival Usahawan Desa (KUD), di Dataran Orang Kaya Haji, bermula 30 Jun hingga 3 Julai ini.

Program itu disertai usahawan daripada enam agensi di bawah KPLB iaitu Majlis Amanah Rakyat (MARA), FELCRA, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP).

Timbalan Menteri 1 KPLB, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad, berkata karnival itu bertujuan melahirkan usahawan luar bandar yang lebih cekap mengurus perniagaan.

“Program ini dapat meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran produk luar bandar dalam meneroka peluang pasaran baharu yang lebih besar dan mewujudkan akses pasaran produk serta perkhidmatan usahawan luar bandar kepada pemborong, pengedar dan pembeli.

“Program di Lipis ini menyasarkan lima ribu pengunjung setiap hari dengan nilai jualan lebih RM200,000 sepanjang empat hari penganjurannya,” katanya selepas meninjau aktiviti gerai jualan usahawan dan pameran agensi di Mini KUD, hari ini.

Katanya, pelbagai barangan jualan disediakan daripada kategori makanan, minuman, pakaian wanita, lelaki, kanak-kanak, kecantikan, kesihatan, kraftangan, produk pertanian dan food truck.

Abdul Rahman berkata, penganjuran Mini KUD Lipis turut menampilkan Rural Business Challenge (RBC) Bistro yang disertai pemenang RBC Pahang.

“Aktiviti lain yang dijalankan termasuk pameran oleh bahagian di bawah KPLB dan agensi serta anak syarikatnya,” katanya.

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata, Pembangunan Ekonomi Komuniti pula menyediakan Program Onboarding Usahawan, penerangan, pameran, jualan dan pendaftaran bagi Program DesaMall @ KPLB.

Katanya, penganjuran mini KUD di Lipis itu adalah kali kedua diadakan tahun ini selepas Pontian, Johor, pada Mac lalu dan sebelum ke Kedah selepas ini.