Moh kita sama-sama bantu

Moh kita sama-sama bantu

Oleh Mohd Imran Izzad

fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Tiga ratus sepuluh bakul makanan diagihkan kepada golongan memerlukan di daerah ini yang terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin, berkata bantuan berkenaan disediakan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Menurutnya, wabak Covid-19 yang melanda negara banyak mengubah kehidupan masyarakat apabila ramai berhadapan dengan masalah kewangan kerana kehilangan sumber pendapatan. “Oleh itu, sokongan pelbagai pihak amat diperlukan dalam membantu meringankan beban golongan yang terkesan tanpa mengira bangsa, bantuan disediakan pastinya bermakna buat mereka. “Kerajaan negeri tidak pernah ketinggalan memberi bantuan menerusi Bantuan Prihatin Pahang (BPP) sejak mula PKP tahun lalu,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Maran.

Beliau berkata demikian Program #Ros_Care: Prihatin Covid-19 Himpunan Sinergi Pertubuhan Kebangsaan Negeri Pahang 2021 di bangunan Jabatan Kebajikan Masyarakat (MAKPEN) Pahang, di sini, semalam. Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah ROS Malaysia, Wan Zainul Azam Khamis @Abdul Majid; Pengarah ROS Pahang, Syed Dzulkifli Syed Mohammad dan Pengarah JKM Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin.

Shahaniza berkata, program berkenaan turut membabitkan sembilan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebajikan di Pahang. “Pembabitan ROS dan NGO kebajikan ini menjadi satu sinergi baru. Kerjasama antara ROS, MAKPEN dan JKM Pahang pada program #Ros_Care: Prihatin Covid-19 suatu yang unik dalam usaha membantu golongan memerlukan,” katanya.