Moh kitar semula, wokmer

Moh kitar semula, wokmer

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Pusat Pembelian Barangan Kitar Semula Taman Gelora dan Pusat Bandaraya dekat Stadium Darul Makmur, di sini  akan dijadikan projek perintis sebelum dibuka di 10 daerah di Pahang.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid, berkata SWCorp dan Alam Flora Sdn Bhd akan menilai sambutan daripada masyarakat dengan kewujudan pusat berkenaan.

Katanya, sekiranya mendapat sambutan, 10 daerah lain di negeri ini akan turut mempunyai pusat pembelian terbabit bagi memudahkan urusan penjualan barangan kitar semula.

“Bagaimanapun, saya percaya masyarakat semakin menyedari kepentingan menjaga alam sekitar iaitu melakukan pengasingan sisa pepejal.

“Masyarakat bukan sahaja menyokong kerajaan bagi program kitar semula, malah menjana pendapatan hasil daripada jualan barangan kitar semula itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program pembukaan Pusat Pembelian Barangan Kitar Semula di Taman Gelora, di sini, hari ini.  

Hadir sama, Timbalan Pengurus Besar Bahagian Operasi Alam Flora, Raja Kamal Azizol Raja Ibrahim.

Mengulas lanjut, Sharudin berkata, bagi tempoh Januari tahun ini hingga semalam, sebanyak 44.2 tan metrik barangan kitar semula bernilai RM21,000 dikutip di seluruh daerah di Pahang.

“Jumlah ini amat membanggakan sekali gus membuktikan orang ramai semakin sedar mengenai kepentingan program kitar semula,” katanya.