TEMERLOH: Bukan sebarangan, sebaliknya kejohanan Temerloh Muay Thai Fight 2022 yang akan berlangsung di Padang Bola Ketumbit, Kerdau di sini pada 20 dan 21 Mei ini, bakal menyaksikan pertarungan berkelas dunia apabila turut disertai bintang handalan terkenal dari luar negara.
Peminat sukan ekstrem berkenaan yang hadir bagi menyaksikan pertandingan merebut Piala Muay Thai Champion Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad itu, akan disajikan dengan pertarungan regu campuran antarabangsa dan tempatan.
Sementara itu, Syed Ibrahim berkata, pihaknya berharap kejohanan itu dapat memberikan impak positif kepada bidang sukan dan pelancongan di Kerdau dan Pahang.
“Selepas berkali-kali pihak urusetia pertandingan ‘meminang’ kami untuk menyempurnakan majlis penutup kejohanan itu, maka kami telah memberi persetujuan untuk turut sama memeriahkan acara ini.
“Saya juga meminta penganjur supaya mematuhi beberapa perkara sepanjang acara berlangsung, anataranya memastikan keselamatan semua pihak, menjaga persekitaran dan sensitiviti masyarakat setempat serta tidak berakhir sehingga larut malam,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan persiapan Temerloh Muay Thai Fight 2022 hari ini. – HELMY ABD RAHMAN