Moh le kite ambil dos penggalak, kata Dr Nor Azimi

Moh le kite ambil dos penggalak, kata Dr Nor Azimi

KUANTAN: Sekurang-kurangnya 85,788 individu di Pahang sudah mendapatkan vaksin dos penggalak (VDP) sehingga 5 Disember lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, Dato’ Dr Nor Azimi Yunus, berkata jika mengikut kelayakan semasa yang bermula 15 Oktober lalu, 208,831 individu sepatutnya menerima VDP.

Sehubungan itu, katanya, Jawatankuasa Task Force bersama JKN Pahang, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sedang mempergiatkan pelbagai aktiviti dan program untuk meningkatkan prestasi suntikan VDP di Pahang.

“Kita mengadakan di beberapa tempat seperti di masjid, pasar raya dan balai raya yang bersesuaian dan tidak terhad kepada Klinik Kesihatan. Namun, kita dapati rakyat Pahang masih belum bersungguh hendak mendapatkan VDP.

“Data terkini menunjukkan 40 peratus rakyat Pahang tidak hadir mendapatkan VDP walaupun telah diberi temujanji oleh MySejahtera, sama ada mereka takut atau tidak faham kepentingan VDP.

“Justeru, kita mohon semua rakyat Pahang datang untuk mendapatkan VDP. Walaupun VDP adalah satu pilihan, biarlah kita memilih yang baik untuk perlindungan diri kita dan orang lain,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, di sini hari ini. – MUHAMMAD IZZ ZAHI