JERANTUT: Kempen makan ikan air tawar perlu dilakukan berterusan dalam memastikan masyarakat dapat terus menjadikan sebagai hidangan tetap keluarga.
Ahli Parlimen Jerantut, Dato’ Ahmad Nazlan Idris, berkata kempen makan ikan air tawar kini dilakukan oleh Jabatan Perikanan Pahang secara berterusan di negeri ini.
Menurutnya, ikan air tawar boleh disediakan dengan pelbagai jenis hidangan seperti masakan istimewa terkenal di Pahang iaitu gulai tempoyak ikan patin.
“Pendapatan golongan nelayan sungai dan penternak ikan sangkar serta kolam termasuk pengusaha produk hiliran juga bertambah apabila permintaan terhadap ikan air tawar meningkat.
“Saya yakin usaha mempromosi ikan air tawar oleh Jabatan Perikanan dapat melonjakan pasaran permintaan produk berkenaan di Pahang dan negeri jiran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Jelajah Perikanan Pahang Barat 2022 ‘Moh Makan Ikan Air Tawar’ di Dewan Utama Majlis Daerah Jerantut (MDJ), pada 25 Ogos lalu.
Pelbagai aktiviti diadakan pada program berkenaan seperti pertandingan memasak ikan air tawar, pameran, jualan dan demonstrasi penyediaan tempoyak dan pais patin.- MOHD IMRAN IZZAD