JERANTUT: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sedang mengumpul masakan asli Pahang melalui Program Khas Dari Dapur Peladangnita ‘Moh Masak Weh’.
Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Dato’ Azulita Salim berkata,, program itu bertujuan menghimpunkan resepi dan mempromosikan warisan makanan tradisional tempatan setiap daerah di Pahang.
“LPP bercadang membukukan semua resepi Peladangnita untuk mengangkat semula warisan makanan tradisional bagi tatapan generasi pada masa depan di samping membantu sektor pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan pertandingan Program Khas Dari Dapur Peladangnita ‘Moh Masak Weh’ bersama ahli wanita Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pahang, di Dewan Majlis Daerah Jerantut, hari ini.
Hadir sama, Pengarah LPP Pahang, Dzulfadli Johan dan Pengerusi Peladangnita Pahang, Dato’ Nazilah Abd Latif.
Pertandingan itu disertai 18 kumpulan terdiri daripada 36 ahli Peladangnita Pahang dari seluruh daerah di Pahang.
Pemenang pertandingan akan mewakili Pahang ke pertandingan akhir di antara ahli Peladangnita seluruh negara sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan pada 23 Disember ini.
Sementara itu, pasangan Hanizah Abd Basir dan Esah Abd Rahim dari PPK Jerantut muncul juara dengan masakan patin gulai asam rong manakala tempat kedua dimenangi peserta Bera dan ketiga dari Cameron Highlands. – MUHAMMAD NAJMIE