PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November sebagai hari pengundian untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata hari penamaan calon pula ialah pada 5 November ini, manakala hari pengundian awal pada 15 November.
“Ia turut membabitkan pilihan raya bagi mengisi kekosongan 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, 15 kerusi DUN Perlis dan 59 kerusi DUN Perak serta DUN Bugaya, Sabah.
“Tempoh berkempen untuk PRU15 adalah 14 hari,” katanya pada sidang media di Menara SPR dekat sini yang disiarkan secara langsung di laman Facebook rasmi SPR.
Menurutnya, seramai 21,173,638 juta pengundi layak mengundi berdasarkan daftar pemilih yang diwartakan pada PRU kali ini.
PRU15 turut mencatat sejarah apabila kali pertama undi 18 tahun dan pengundi baharu automatik dilaksanakan. – HELMY ABD RAHMAN