JERANTUT: Bukit Buloh yang kini dikenali sebagai Bukit Merah akan dimasukkan dalam kalender pelancongan Pahang berikutan mempunyai keunikan yang tiada di tempat lain.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata di puncak bukit ditumbuhi
pokok Kelat Gelam atau nama saintifiknya Eugenia Cerina daripada family Myntaceae, yang menimbulkan suasana yang menarik kepada pendaki.
Katanya, keunikan batang pokoknya yang merah membuatkan lantai hutan menjadi kemerah-merahan adalah fenomena alam semulajadi yang sangat menakjubkan di puncak Bukit Merah.
“Selain itu, kita juga mempunyai Mossy Forest di Cameron Highlands yang dipenuhi tumbuhan berlumut yang tiada di tempat lain.
“Bukit yang berketinggian 371 meter daripada paras laut laut ini sesuai dikunjungi untuk semua peringkat umur. Kita hanya memerlukan kira-kira 40 minit untuk sampai ke puncak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengiringi Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al -Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah, yang mencemar duli bersama-sama mendaki Bukit Merah sempena Pahang Hiking Day, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin, Ahli Parlimen Jerantut, Dato’ Ahmad Nazlan Idris dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Dato’ Nazri Ngah, turut sama berpeluh mendaki Bukit Merah.
Wan Rosdy berkata, Pahang Hiking Day adalah satu daripada usaha kerajaan negeri untuk mempromosikan lokasi aktiviti pendakian dan merancakkan semula industri pelancongan di Pahang.
Katanya, Bukit Merah boleh menjadi persinggahan buat pelancong sebelum ke Taman Negara kerana lokasinya tidak jauh dari bandar Jerantut. – MUHAMMAD NAJMIE