TEMERLOH: Pengguna Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang berhenti di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh arah timur untuk berehat atau solat bolehlah membeli pelbagai jenis kuih raya di gerai yang terdapat di kawasan itu.
Ini berikutan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Pahang menyediakan Bazaar Industri Asas Tani Aidilfitri di kawasan terbabit.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata bazar itu sebenarnya satu usaha FAMA membantu jualan produk usahawan industri asas tani.
“Kuih raya murah berbanding pasaran kerana jualan dilakukan sendiri oleh usahawan. Empat puluh usahawan terbabit dalam program ini.
“Mereka beroperasi sejak 22 April lalu dan sehinggalah 22 Mei depan. Bazar akan buka dari 9 pagi sehinggalah 9 malam, setiap hari,” katanya selepas merasmikan Bazaar IAT Aidilfitri, FAMA Pahang di LPT Temerloh arah timur, semalam.
Di majlis itu juga Mohd Shakar turut menyampaikan ‘goodies’ kepada pengguna bertuah yang singgah dalam perjalanan balik kampung sempena Aidilfitri. – MUHAMMAD NAJMIE