Moh sokong Pahang Rangers

Moh sokong Pahang Rangers

SELEPAS lebih dua tahun, Pahang Rangers FC kembali beraksi di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan, untuk melayan kunjungan Terengganu pada aksi suku akhir pertama Piala Futsal Malaysia, malam esok.

Kali terakhir skuad bimbingan Gerard Casas beraksi di gelanggang itu pada Mac 2020, ketika menewaskan Sarawak 9-1, pada aksi pembukaan Malaysian Premier Futsal League 2020.

Namun, pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan, memaksa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membatalkan semua perlawanan untuk dua tahun berturut-turut.

“Ia bukan perjalanan mudah tapi kami semua mengharunginya sebagai sebuah keluarga dan kembali sebagai pasukan yang lebih kuat.

“Kini penyokong boleh kembali bersorak di SUKPA, kami tahu sudah begitu lama mereka menantikan saat ini dan bersedia mempamerkan prestasi terbaik,” kata Casas.

Ditanya peluang berdepan Terengganu, pengendali dari Sepanyol itu meletakkan harapan mencari bekalan selesa untuk aksi timbal balik pada 25 Jun ini.

“Pada masa sama, saya gembira kerana mempunyai barisan pemain terbaik termasuk kembalinya lima pemain kebangsaan yang bermain di Piala AFF dan Sukan SEA lalu,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN