Moh Sri Pahang, bangkit raih kemenangan

Moh Sri Pahang, bangkit raih kemenangan

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@gmail.com

SRI Pahang FC dituntut bangkit daripada kekalahan apabila menentang Sarawak United FC pada perlawanan kedua Piala Malaysia, di Stadium UiTM Shah Alam, malam esok.

Ketua jurulatihnya, Dollah Salleh mahu anak buahnya melupakan kekalahan 1-3, kepada Kuala Lumpur (KL) City FC kelmarin, dalam usaha mencatatkan kemenangan.

Katanya, ini kerana kemenangan itu akan membantu menyuntik semangat dan kembali memberi saingan kepada lawan dalam Kumpulan A.

“Saya harap pemain tidak lagi mengulangi kesilapan yang sama dan bangkit memberi tentangan untuk mencatat kemenangan.

“Semangat berpasukan perlu ada dan diharap tidak cepat berputus asa serta memanfaatkan segala peluang yang dimiliki,” katanya.

Pada perlawanan pertama piala berprestij itu, Sri Pahang kecundang 1-3 kepada KL City.

Lebih membuatkan Dollah terkilan ialah tiada gerakan berbahaya dilakukan anak buahnya untuk memberi tekanan kepada pemain lawan.