Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
PENGURUS Sri Pahang FC, Dato’ Che Nasir Salleh mahu skuad itu tampil dengan corak permainan lebih tersusun apabila melayan kunjungan KL City FC, di Stadium Darul Makmur, malam esok.
Beliau berkata, persefahaman antara pemain perlu dipertingkatkan untuk membentuk gandingah mantap dan padu.
Katanya, semua pemain juga tidak boleh bergantung kepada seorang pemain, sebaliknya bahagian serangan, tengah dan pertahanan saling membantu.
“Dengan baki lima perlawanan ini, hanya kemenangan akan membantu Sri Pahang untuk melonjak pada kedudukan lebih selamat.
“Oleh itu, fokus utama adalah kekal konsisten sepanjang tempoh 90 minit perlawanan,” katanya.
Selepas mengharungi 17 perlawanan, skuad Tok Gajah berada di kedudukan kesembilan Liga Super dengan mengutip 17 mata.
Kedudukan itu belum lagi selamat memandangkan jurang mata dengan tiga pasukan iaitu Melaka United, Perak FC dan UiTM FC tidak jauh.