Moh tanam semula Meranti Kuantan

Moh tanam semula Meranti Kuantan

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Usaha menanam semula pokok spesies Meranti Kuantan (Shorea kuantanensis) 

di daerah ini akan dilakukan secara berterusan dalam lima tahun.

Pokok itu yang sebelum ini banyak terdapat di Hutan Simpan Bukit Goh, sudah pupus sebelum ditemui semula pada 2014 di Taman Eko Rimba Lata Tembakah dalam Hutan Simpan Besut, Terengganu.

Pegawai Pejabat Hutan Daerah (PHD) Kuantan, Pekan dan Maran, Norshazlee Roslee berkata, program menanam pokok spesies Meranti Kuantan akan terus dilakukan secara berterusan setiap tahun.

Menurutnya, usaha mendapatkan benih pokok berkenaan kini giat dilakukan dengan mencari di HS Besut, benih it kemudian berkenaan disemai di Pusat Perolehan Biji Benih dan Bahan Tanaman Lentang, Bentong.

“Kita ingin memastikan penduduk daerah ini mengenali lebih dekat pokok Meranti Kuantan yang sebelum ini hanya terdapat di Kuantan. Pokok Meranti Kuantan adalah sejenis pokok balak yang mempunyai permintaan tinggi,”  katanya.

Beliau berkata demikian pada program memperkenalkan semula pokok Meranti Kuantan dan kempen penanaman 5 juta pokok@Sungai Pandan di Taman Eko Rimba (TER) Sungai Pandan, di sini, semalam.

Program berkenaan mendapat  kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) Pahang dengan 100 anak pokok Meranti Kuantan ditanam secara gotong-royong oleh kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

Norshazlee berkata, pihaknya menerima peruntukan sebanyak RM40,000 daripada Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) untuk memperkenalkan pokok Meranti Kuantan kepada masyarakat.

“Kita akan menyediakan papan tanda penerangan berkaitan pokok Meranti Kuantan di TER Sungai Pandan bagi kemudahan pengunjung mengenali pokok yang berasal dan unik dari daerah ini,” katanya.