Moh tengok aksi 36 regu di Maran

Moh tengok aksi 36 regu di Maran

SAINGAN sirkit kedua Liga Sepak Takraw Pahang menyaksikan perebutan kejuaraan membabitkan 36 pasukan di Arena YAM Tengku Muda Pahang dan Dewan Jubli Maran, Sabtu ini.

Pertandingan bagi merebut Piala Ketua UMNO Bahagian Maran, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin turut menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM4,000.

Pengerusi kejohanan, Nara Nordin berkata, Liga Sepak Takraw Pahang diadakan secara lima sirkit bermula di Cameron Highlands bagi merebut Piala Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands, pada Januari lalu.

Menurutnya, sirkit kedua kali ini akan diadakan di Maran yang kemudian diikuti sirkit ketiga di Temerloh pada Mei depan, manakala sirkit keempat (Mei) di Lipis dengan sirkit terakhir dan kemuncak pertandingan di Bera (Jun).

Katanya, hanya 24 regu terbaik akan berpeluang beraksi pada sirkit terakhir merebut Piala YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, merangkap Ketua UMNO Bahagian Bera, pada Jun depan.

“Liga Sepak Takraw Pahang julung kali diadakan menawarkan hadiah keseluruhan RM16,000 dan piala pusingan disumbangkan oleh Ketua UMNO Bahagian Bera, Cameron Highlands, Maran, Temerloh dan Lipis.

“Tujuan utama Liga Sepak Takraw Pahang adalah untuk mempopularkan sepak takraw di peringkat daerah dan negeri seterusnya mencungkil bakat muda,” katanya.

Nara berkata, Kuantan A muncul juara pada sirkit pertama selepas menewaskan Pesda Lipis A manakala Sukma A menamatkan saingan di tangga ketiga dengan Jerantut C di tempat keempat. – MOHD IMRAN IZZAD