RAUB: Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub mengenal pasti tiga lokasi di daerah ini terdapat bunga terbesar di dunia iaitu Rafflesia atau dikenali sebagai Pakma.
Tumbuhan unik menjalar itu berada di Lata Lembik, Bukit Taching dan Gunung Benom dalam kawasan hutan simpan kekal.
Pegawai Hutan Daerah Raub, Shahril Mohamad berkata, usaha mempromosikan Rafflesia yang terdapat di daerah ini sedang dilakukan dengan kerjasama agensi pelancongan tempatan.
Katanya, Rafflesia mampu menjadi daya tarikan pelancong ke Taman Eko Rimba (TER) tetapi perlu meredah hutan beberapa kilometer.
“Di daerah ini terdapat enam jenis Rafflesia antaranya Rafflesia Cantleyi, Rafflesia Azlanii dan Rafflesia Sharifah Hapsahiae. Ini disahkan oleh penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“TER Lata Jarum antara lokasi terkenal dengan Rafflesia dan setiap kali ia kembang, ramai pelancong tempatan akan datang untuk melihat lebih dekat bunga itu,” katanya di TER Lata Jarum, kelmarin.
Beliau berkata, pihaknya ada menyediakan laluan di beberapa TER bagi memudahkan pelancong sampai ke kawasan Rafflesia itu.
Shahril berkata, bunga itu turut boleh ditemui di hutan Sungai Rengat, Jerantut di samping di Kampung Tekek dan Kampung Juara, di Pulau Tioman. – MOHD IMRAN IZZAD