Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@gmail.com
KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) melalui Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang meletakkan sasaran kutipan zakat harta RM170 juta, tahun ini.
Pengurus Besar Kanan PKZ Pahang, Dato’ Halidan Md Daud, berkata sejumlah RM158.3 juta dikutip pada 2020 dan sasaran 2021 itu dijangka dicapai berdasarkan komitmen dan kesedaran umat Islam.
Katanya, berdasarkan statistik 1 Januari hingga 20 Oktober lalu, RM102.3 juta dikutip membabitkan 86,828 pembayar zakat harta berbanding RM96.6 juta daripada 83,107 pembayar bagi tempoh sama tahun lalu.
“Sehingga ini, kutipan zakat harta berada di landasan yang baik untuk mencapai sasaran yang ditetapkan dengan peningkatan RM5.7 juta atau 5.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu .
“Penyumbang terbesar bagi kutipan zakat adalah daripada potongan gaji iaitu RM47.4 juta manakala kedua pula daripada badan korporat dan sektor perniagaan iaitu RM22.3 juta,” katanya di sini hari ini.
Halidan berkata demikian kepada media selepas majlis penyerahan zakat perniagaan korporat yang disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertua MUIP, YAM Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pada majlis itu, MUIP melalui PKZ Pahang menerima zakat perniagaan sejumlah RM2.53 juta daripada lima syarikat.
Lima syarikat berkenaan ialah YP Plantation Holdings Sdn Bhd dengan RM726,775.70, Pharmaniaga Berhad (RM650,000), Bank Pembangunan Malaysia Berhad (RM384,968), Bank Muamalat Malaysia Berhad (RM222,959) dan Agro Bank (RM168,596).