Moh warga Kuantan ambil vaksin Covid-19

Moh warga Kuantan ambil vaksin Covid-19

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Orang ramai, khususnya warga Kuantan dan warga asing yang belum menerima suntikan vaksin diharap tampil pada Program Pemberian Vaksinasi Secara Jumpa Terus atau `walk-in’, Khamis ini.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Norkamawati Kamal, berkata kira-kira 200 dos vaksin ditawarkan dalam program itu.

Katanya, program sehari yang diberikan secara percuma itu diharap dimanfaatkan oleh warga Kuantan termasuk warga asing yang belum menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Pekerja asing termasuk pembantu rumah yang mempunyai permit atau tidak dan pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) juga boleh mendapatkan suntikan itu.

“Oleh itu, warga Kuantan yang belum mendapatkan suntikan diminta memanfaatkan peluang yang diberikan ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Program itu mendapat kerjasama Kerajaan Pahang, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang dan MBK serta diadakan di ruang legar MBK, di sini, dari 9 pagi hingga 4 petang.