Moh weh berkelah di Pantai Anak Air

Moh weh berkelah di Pantai Anak Air

KUANTAN: Kawasan pelancongan baharu di Pantai Anak Air yang terletak di Tanjung Lumpur, di sini, bakal menjadi destinasi rekreasi digemari ramai. 

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Dato’ Hamdan Hussin berkata, lokasi pelancongan itu akan menjadi daya tarikan baharu seperti Pantai Chendor, Pantai Cherating, Pantai Sungai Ular, Pantai Batu Hitam, Kempadang dan Pantai Sepat. 

“Daerah ini mempunyai pantai yang panjang iaitu dianggarkan melebihi 80 kilometer dan semua pantai ini boleh dikunjungi dengan mudah. 

“Kalau ikutkan kawasan ini (Pantai Anak Air) kurang popular tetapi kita yakin selepas ini ia akan menjadi tumpuan pengunjung dalam dan luar negeri,” katanya ketika ditemui selepas berakhirnya majlis pelancaran buku terbitan Kolej Komuniti Kuantan di dewan besar Kolej Komuniti Kuantan, di sini, semalam.

Hamdan berkata, pihaknya memperuntukkan kira-kira RM4 juta bagi menaik taraf kemudahan rekreasi di semua kawasan pelancongan pantai di daerah ini.

“Selepas kami meningkatkan kemudahan awam di kawasan tumpuan pengunjung, kita mendapati masyarakat setempat memberi kerjasama yang baik untuk menjaga kebersihan pantai sehinggakan mewujudkan satu pasukan sukarelawan. 

“Pasukan itu akan memastikan kemudahan awam digunakan dengan baik di samping memastikan kebersihan di pusat pelancongan. Kita hargai kerjasama daripada komuniti setempat ini,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD