Moh wokmer ambik terus dos penggalak

Moh wokmer ambik terus dos penggalak

KUALA LUMPUR: Mulai esok, semua penduduk Malaysia berusia 18 tahun ke atas boleh mengambil suntikan vaksinasi dos penggalak secara ‘walk-in’ (terus) di mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata bagi mereka yang ingin mengambil dos penggalak di PPV pengamal perubatan swasta (PPV GP), individu berkenaan perlu menghubungi klinik swasta terbabit untuk menentukan masa sesuai mendapatkan vaksinasi.

“Ini bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan SOP (prosedur operasi standard) dapat dipatuhi pada setiap masa, mengambil kira ruang terhad di klinik swasta.

“Senarai PPV GP dan PPV offsite boleh disemak di laman web ProtectHealth iaitu www.protecthealth.com.my. Senarai berkenaan akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, jenis vaksin yang diberikan terhad kepada bekalan di setiap PPV.

“Justeru, individu yang ingin hadir secara ‘walk-in’ perlu mempunyai sijil vaksinasi digital lengkap di dalam MySejahtera bagi melancarkan proses vaksinasi.

“Individu yang tidak mempunyai sijil vaksinasi digital kerana tidak mempunyai telefon pintar, sila bawa bersama kad vaksinasi fizikal ke PPV,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN