Mohd Akmal gigih bagai lebah menghimpun madu

Mohd Akmal gigih bagai lebah menghimpun madu

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima mengadap seorang penghantar makanan di Istana Abdulaziz, di sini.

Kegigihan Mohd Akmal Azhar, 36, yang juga penuntut Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Teknologi Farmaseutikal, Universiti Malaysia Pahang (UMP), itu menarik perhatian baginda kerana menyara kehidupan dengan bekerja sambilan ketika sibuk menyiapkan kajian ilmiah atau tesis.

Sehubungan itu, baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada Mohd Akmal atas kecekalan dan kejayaan menyiapkan tesis pengajian dengan sempurna.

Sementara itu, Mohd Akmal bersyukur kerana dapat menyelesaikan kajiannya berkaitan penghasilan produk probiotik dalam bentuk tablet yang mempunyai ketahanan daripada asid dalam perut.

“Tiga tahun pertama saya sememangnya fokus dalam tugasan di makmal. Tahun keempat saya mula fokus dalam penulisan tesis dan memandangkan ketika itu negara dilanda pandemik COVID-19.

“Justeru, saya memilih untuk bekerja di sebelah siang sebagai penghantar makanan untuk menambah pendapatan dan menyiapkan penulisan tesis pada malamnya,” kata Mohd Akmal.