Mohd Sharim janji bekerja lebih Baik

Mohd Sharim janji bekerja lebih Baik

PEKAN: Menyediakan kira-kira seribu rumah untuk generasi kedua FELDA Chini adalah antara agenda akan diperjuangkan jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), pada 19 November ini.

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Mohd Sharim Md Zain berkata, menerusi projek Lot Generasi FELDA (LGF) dan Skim Tanah Rakyat (STR), Kerajaan Pahang bakal menyediakan lebih banyak rumah.

Menurutnya, 360 rumah menerusi STR akan disediakan pada 2023 dalam usaha membela nasib generasi kedua FELDA di Chini.

“Selepas dua tahun tiga bulan memikul tugas sebagai wakil rakyat DUN Chini, saya dapati masih banyak lagi kemudahan yang perlu diberikan kepada penduduk di lapan gugusan FELDA Chini.

“Saya berharap pengundi DUN Chini dapat memberi sokongan kepada saya yang membawa benda UMNO pada PRU15,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, nasib penduduk kampung tradisional dan masyarakat Orang Asli tidak pernah dipinggirkan dan pelbagai projek akan dilaksanakan.

DUN Chini mempunyai 26,121 pengundi termasuk 2,800 pengundi Orang Asli dengan 60 peratus daripadanya adalah orang muda bawah 40 tahun. – MOHD IMRAN IZZAD