Mohd Sharkar dilantik Speaker DUN Pahang baru

Mohd Sharkar dilantik Speaker DUN Pahang baru

KUANTAN: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lancang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin dilantik sebagai Speaker DUN Pahang yang baharu, berkuat kuasa hari ini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Temerloh, menggantikan Yang Dipertua bagi penggal lalu, Dato’ Sri Ishak Muhammad.

Jawatan Timbalan Speaker pula dijawat ADUN Bilut, Lee Chin Chen (PKR) yang menggantikan bekas ADUN Jenderak, Dato’ Sri Muhamed Jaafar.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail   memakaikan jubah kepada Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin yang dilantik  sebagai Speaker DUN Pahang yang  baharu  bagi penggal ke-15. Gambar Fikrah Pahang oleh Mustaffa Kamal

Kedua-dua jawatan itu diusulkan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan disokong ADUN Benta yang juga EXCO Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan, Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak.

Wan Rosdy dalam ucapan penangguhan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama DUN Pahang ke-15, berkata kedua-dua mereka diyakini mampu menggalas tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan baik dan cemerlang.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan tahniah kepada Dato’ Sri Mohd Sharkar bin Shamsudin atas pelantikan sebagai Yang Dipertua DUN Pahang bagi penggal ke-15 ini. 

“Saya yakin, Dato’ Sri Yang Dipertua mampu menggalas tanggungjawab serta menguruskan perjalanan dewan yang mulia ini dengan baik dan penuh dedikasi seperti mana yang telah dilakukan oleh Yang Dipertua Dewan pada penggal-penggal sebelum ini.

“Tahniah juga kepada Yang Berhormat Lee atas pelantikan sebagai Timbalan Yang Dipertua. Semoga Yang Berhormat turut berupaya melaksanakan tugas ini dengan baik dan cemerlang,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN

E