Mohd Soffi minta pekebun daftar projek supaya elak rugi

Mohd Soffi minta pekebun daftar projek supaya elak rugi

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

KUANTAN: Pekebun sayur di Pahang disaran mendaftar projek tanaman mereka bagi mengelak berlaku kerugian berikutan lambakan bekalan. 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang, Dato’ Mohd Soffi Abd Razak, berkata cadangan mendaftar projek tanaman berskala besar supaya agensi berkaitan dapat menyegerakan bantuan. 

“Sebagai contoh mungkin agensi berkaitan boleh nasihatkan pekebun supaya mengusahakan tanaman lain sebagai persediaan awal jika berlaku sebarang kemungkinan tidak diingini,” katanya, di sini semalam.

Beliau mengulas episod kejatuhan mendadak harga timun sehingga mencecah 20 sen sekilogram, minggu lalu. 

Keadaan itu membuatkan pekebun, Zulkarnain Abdul Razak, 48, memusnahkan 6,400 pokok timunnya di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Inderapura. 

KUANTAN..Pekebun Zulkarnain Abdul Razak terpaksa bertindak membuang buah timun disebabkan harga ladang 20 sen sekilogram.Dia mengusahakan tanaman berkenaan di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Inderapura, Jalan Kuantan-Pekan.

Mohd Soffi berkata, semua pekebun di Pahang khususnya yang mengusahakan projek  berskala besar perlu memaklumkan kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang bagi membolehkan agensi itu melakukan persediaan sekiranya berlaku lambakan hasil.

Katanya, pekebun di TKPM Inderapura yang memusnahkan pokok timun sebenarnya mereka bukan peserta ladang kontrak dan tidak mendaftar dengan FAMA.

“Saya nasihatkan pekebun yang menghadapi masalah lambakan hasil supaya segera maklumkan kepada pihak berkaitan dalam usaha membantu meringankan beban kerugian mereka. 

“Tahun lalu berlaku kejadian lambakan labu manis dan kerajaan negeri memohon kerjasama agensi berkaitan termasuk FAMA untuk membantu memasarkannya,” katanya.