Mohon buang sisa kebun, pukal di tempat yang betul 

Mohon buang sisa kebun, pukal di tempat yang betul 

KUANTAN: Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) akan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kaedah pembuangan sisa kebun dan pukal yang betul bermula dari rumah.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Dato’ Mohd Zain Hassan, berkata selain itu, orang ramai juga perlu mengetahui jadual kutipan sisa kebun dan sisa pukal di kawasan masing-masing.

Katanya, langkah itu bagi memudahkan Alam Flora membuat kutipan yang dijadualkan seminggu sekali ketika ini.

“Ini berikutan sisa kebun dan sisa pukal yang diuruskan dengan baik akan mengindahkan lagi pemandangan persekitaran.

“Sebaiknya sisa kebun dan pukal diletak bersebelahan dengan tong sampah dan bukannya di tepi jalan atau tempat awam seperti taman permainan,” katanya pada sidang media selepas acara pelepasan 24 peserta Cyber Eco Hunt 2022 di Teluk Cempedak, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid.

Beliau berkata, berdasarkan statistik, 20,000 tan sisa domestik direkodkan di Pahang setiap bulan. 

“Daripada jumlah itu, kira-kira 10 peratus daripada sisa yang dibuang adalah sisa kebun dan  pukal,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN