KUANTAN: Pengguna lalu-lintas Jalan Gambang, di sini, khususnya di jambatan Sungai Besar yang sedang dalam pembinaan diminta bersabar.
Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah, berkata beliau memahami masalah kesesakan yang dialami rakyat, khususnya pengguna jalan raya, kerana beliau juga berulang-alik ke Paya Besar melalui jalan itu.
“Alhamdulillah, kerja pembinaan berjalan dengan baik dan setakat 1 Disember lalu, sekurang-kurangnya 86 peratus kerja sudah siap,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Mohd Shahar mengadakan tinjauan bersama jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut pelaksanaan pembinaan jambatan itu, hari ini.
Justeru, beliau berterima kasih kepada mereka yang sentiasa ambil tahu mengenai kemajuan kerja jambatan itu.
“Saya harap kita semua dapat bersabar sedikit masa lagi. Semoga kita akan lebih selesa apabila jambatan ini siap,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN