Molek FM kini bersiaran di Kuantan menerusi frekuensi 100.4

Molek FM kini bersiaran di Kuantan menerusi frekuensi 100.4

KUANTAN: Stesen radio swasta MOLEK FM kini boleh diikuti pendengar di daerah ini menerusi frekuensi 100.4 FM yang dilancarkan secara rasminya pada 2 Oktober 2022 lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio (MPA), Nazri Noran, berkata Molek FM dengan slogan, Gu Pantai Timur yakin stesen itu mampu menarik minat pendengar melalui gaya hidup, warisan dan tradisi setempat selain memainkan muzik terbaik serta dekat di hati peminat. 

Menurutnya, selepas sembilan bulan beroperasi di Kota Bharu, Kelantan menerusi frekuensi 105.1 dan di Kuala Terengganu (93.6), ternyata Molek FM yang dikendalikan MPA mendapat sambutan menggalakkan dengan jumlah pendengar mencecah 300,000 seminggu.

Beliau berkata, Molek FM yang menyasarkan pendengar berusia 18 hingga 39 tahun, berbeza dari segi penyampaiannya apabila menggunakan dialek mengikut negeri masing-masing.

“Penyampai menggunakan bahasa dan loghat setempat, justeru dengan adanya siaran ini, pendengar menjadi lebih seronok kerana boleh menggunakan dialek masing-masing ketika berkomunikasi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Molek FM di Rimba by Loft di sini, semalam.

Tambahnya, Molek FM juga menganjurkan kempennya ‘Oghe Molek O’Betty by Glow Glowing’ serentak dengan pelancaran stesen radio berkenaan. 

“Konsep kempen ini memerlukan pendengar mengikuti siaran Molek FM bagi menjejaki lelaki misteri yang akan memberikan hadiah wang tunai kepada mereka.

“Pendengar yang berjaya menjejaki lelaki misteri atau ‘Oghe Molek’ bakal menerima wang tunai RM10,000,” katanya. – NUR HANNAH KHADIJAH