KUANTAN: Kerajaan negeri bercadang menaikkan nilai sumbangan untuk pasangan berkahwin kali pertma di negeri ini daripada RM200 kepada RM250.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata cadangan itu satu daripada dua perkara tambahan dalam Belanjawan Pahang 2022.
Untuk itu, katanya, kerajaan negeri akan memperuntukkan kira-kira RM220,000 bagi menjayakan inisiatif berkenaan.
“Mengikut data, jumlah pendaftaran perkahwinan sehingga September tahun ini adalah seramai 880 pasangan.
“Justeru, dengan mengambil kira data ini, kerajaan negeri akan memperuntukkan perbelanjaan sekitar RM220,000 pada 2022 untuk tujuan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kerajaan negeri juga bercadang memberikan insentif kewangan kepada semua Ahli Dun (Adun) sebagai tanda penghargaan.
“Bonus ini sebagai tanda terima kasih kerajaan negeri kepada ahli-ahli dewan yang mulia ini. Bagaimanapun jumlahnya masih belum diputuskan dan akan dibincangkan dalam mesyuarat ahli Majlis Kerajaan Negeri akan datang,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN