Moleknya Maszlee follow akaun TikTok Tok Wan

Moleknya Maszlee follow akaun TikTok Tok Wan

KUANTAN: “Seeloknya biar dia (Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik) ‘follow’ (mengikuti) akaun TikTok dan media sosial MB (YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail), baru boleh bercakap pakai fakta,” kata Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Dato’ Indera Mustaffar Kamal Ab Hamid.

Mustaffar memberikan reaksi itu berikutan dakwaan Maszlee dalam perbahasan di Dewan Rakyat semalam yang mempersoalkan ketiadaan Wan Rosdy ketika banjir melanda di negeri itu dan sebaliknya memuji Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang baginya turun menyelamatkan mangsa banjir.

“Sebagai Ahli Parlimen, Maszlee sepatutnya bercakap mengenai sesuatu berasaskan kebenaran, bukan bercakap dan menuduh melulu tanpa sebarang fakta untuk menjatuhkan orang lain.

“Apatah lagi dia berkata demikian di Parlimen iaitu tempat yang mulia dan tak sepatutnya keluarkan tuduhan tak berasas seperti itu,” katanya kepada Fikrah Pahang, semalam.

Pun begitu, Mustaffar berkata, beliau tidak terkejut dengan tuduhan melulu oleh Maszlee yang sebelum ini mempunyai sejarah bercakap benda tanpa asas contohnya berjanji menghapuskan tol Simpang Renggam sekiranya menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu. – HELMY ABD RAHMAN