PEKAN: Pengguna Jalan Pekan-Batu Balik, di sini, tidak lagi diburu perasaan bimbang menjelang musim tengkujuh apabila kerajaan negeri kini melaksanakan projek ‘3M’ iaitu mendalamkan, membesarkan dan membersihkan parit dan longkang sejauh hampir 45 kilometer (km).
EXCO Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, berkata projek yang dikenali sebagai ‘Monsoon Drain’ itu bermula di simpang Hospital Pekan ke simpang Paloh Hinai dan sebahagian jalan ke Chini serta dijangka siap awal November ini.
“Ini bagi memastikan apabila tibanya musim tengkujuh, limpahan air di laluan ini dapat diatasi atau dikurangkan ke tahap paling minimum.
“Alhamdulillah, terima kasih YAB Menteri Besar (Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail) kita. Inilah satu lagi jasa dan usaha Kerajaan BN Pahang dalam membela nasib rakyat di kampung-kampung sekiranya terjadi banjir,” katanya menerusi hantarannya di Facebook, semalam – NUR HANNAH KHADIJAH