KUANTAN: Kumpulan Wang Pembangunan Hutan (KWPH) memperuntukkan RM450,000 untuk menaik taraf Taman Eko Rimba (TER) Mossy Forest, Cameron Highlands.
Penolong Pengarah Kanan (Hutan Lipur) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Regina Mariah Jong berkata, tiga projek menarik taraf pusat pelancongan itu membabitkan kawasan meletak kenderaan, bangunan kaunter tiket dan penerangan serta pelantar pemandangan.
Menurutnya, turut sama dinaik taraf ialah replika tulisan ‘Taman Eko Rimba Mossy Forest’ yang lebih menarik supaya pelancong boleh mengabadi gambar kenangan mereka.
“Projek menarik taraf TER Mossy Forest kini hampir siap sepenuhnya mengikut jadual. Pelancong sudah boleh berkunjung ke TER Mossy Forest,” katanya.
Beliau berkata, TER Mossy Forest kini menjadi antara produk pelancongan yang terkenal di Cameron Highlands dan ia telah dibuka sepenuhnya selepas ditutup berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – MOHD IMRAN IZZAD