PEKAN: Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Abdul Razak Pekan, di sini, terpaksa ditutup seminggu berikutan penularan COVID-19.
Notis penutupan dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan petang semalam yang mengarahkan asrama pelajar dan pejabat pentadbiran dikosongkan untuk tujuan disinfeksi atau pembasmian kuman di premis terbabit bertujuan mencegah penularan COVID-19.
Menurut sumber, sehingga semalam terdapat seramai 35 pelajar yang sedang menduduki peperiksaan SPM disahkan positif covid-19, manakala 91 pelajar lagi menjadi kontak rapat (CC1).
Katanya, bagi menyekat penularan wabak berkenaan dalam kalangan pelajar selain ketiadaan tempat tinggal selepas asrama terpaksa di kosongkan, tindakan menutup MRSM Tun Abdul Razak Pekan terpaksa dilakukan demi keselamatan dan kesihatan pelajar.
Menurutnya, pada hari pertama peperiksaan SPM, tidak ada pelajar MRSM Tun Abdul Razak Pekan yang positif COVID-19 selepas ujian Kit Ujian Rapid (RTK) dilakukan.
Tambahnya, pihak sekolah sudah mengambil semua langkah pencegahan termasuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang peperiksaan diadakan.
Sementara itu Pegawai Pendidikan Daerah Pekan, Mohd Razali Mustafar, ketika dihubungi mengesahkan MRSM Tun Abdul Razak Pekan terpaksa ditutup selepas mendapat arahan penutupan selama seminggu daripada PKD Pekan.
“Pihak MRSM terpaksa akur dengan arahan dikeluarkan oleh PKD Pekan petang semalam yang mengarahkan asrama pelajar dan pejabat pentadbiran sekolah perlu ditutup selama seminggu bagi tujuan aktiviti disinfeksi,” katanya.
Untuk rekod, seramai 1,802 pelajar sedang menduduki SPM yang bermula Isnin lalu membabitkan 21 sekolah di Pekan manakala MRSM Tun Abdul Razak Pekan mempunyai seramai 141 calon. – MOHD IMRAN IZZAD