MTSP jadi orang tengah dekatkan penuntut dengan masyarakat

MTSP jadi orang tengah dekatkan penuntut dengan masyarakat

KUANTAN: Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) akan menjadi pemudah cara bagi mendekatkan penuntut anak Pahang dengan masyarakat di setiap pelosok negeri ini.

Naib Pengerusi 1 MTSP,  Mohd Farid Mohd Noor, berkata untuk itu, pihaknya akan menjalin hubungan dengan semua persatuan anak Pahang di institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.

Katanya, ia bagi membolehkan MTSP melaksanakan program bantuan rakyat bersama penuntut terbabit pada cuti semester.

“Kita akan jadikan program ini satu jenama supaya orang Pahang tahu bahawa golongan mahasiswa juga berhasrat menyumbang balik kepada  masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2022 Siswa dan Siswi kelahiran Pahang sebanyak RM200 seorang di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, semalam.

Program berkenaan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang mewakili YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.  

Seramai 154 daripada keseluruhan 204 penuntut anak Pahang yang sedang mengikuti pengajian di USM menerima bantuan daripada Kerajaan Pahang membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM43,000.

Menyentuh program semalam, Mohd Farid berkata, MTSP terbabit secara langsung untuk mendapatkan dan memurnikan senarai nama penuntut anak Pahang di IPT seluruh negara bagi membolehkan mereka menerima bantuan berkenaan. – HELMY ABD RAHMAN