KUALA LUMPUR: UMNO tidak pernah memadamkan agenda penyatuan ummah, sekali gus tidak menolak usaha memulihkan kerjasama antara parti itu dan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN).
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid, berkata sebarang usaha ke arah itu, bagaimanapun, harus kembali berpandukan kepada prinsip dan semangat piagam asal seperti yang pernah dimeterai dan disepakati antara UMNO serta PAS.
“UMNO hakikatnya tidak pernah memadamkan agenda penyatuan ummah yang menjadi asas kestabilan politik tanah air.
“Penyatuan yang berteraskan keindukan Bumiputera Melayu Islam ini adalah kunci keharmonian dalam kemajmukan Malaysia yang berbilang kaum,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Kenyataan itu dibuat susulan pertemuannya dengan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, di kediamannya pada 17 September.
“Pertemuan ini berlangsung dengan penuh harmoni berteraskan semangat mahabbah dan ukhuwah persaudaraan Islamiah. Banyak perkara dibincangkan termasuk mengenai agenda penyatuan ummah yang pernah digerakkan bersama satu ketika.
“Semangat kerjasama politik atau taawun siyasi antara UMNO-PAS waktu itu berpaksikan kepada keinsafan betapa perlunya dua parti induk Bumiputera Melayu-Islam terlebih dahulu diperkasakan bagi memungkinkan terlaksananya penyatuan ummah dalam erti kata sebenar,”jelasnya.
Ahmad Zahid bagaimanapun mengingatkan, UMNO tidak sesekali dapat menerima pihak yang berterusan melakukan pengkhianatan dengan menjadikan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh utama.
“Sebab itulah, sejak awal kita menekankan soal keikhlasan dan kejujuran dalam apa juga bentuk permuafakatan,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, setiap aspek bersangkutan dengan isu berkenaan harus dirujuk kepada kenyataan yang keluar melalui saluran rasminya atau parti. – HELMY ABD RAHMAN