Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@gmail.com
BERA: Kegembiraan terpancar di wajah 24 pelajar Orang Asli Kampung Limbahan, di sini apabila menerima telefon pintar percuma daripada Kerajaan Persekutuan.
Pemberian sumbangan disempurnakan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang mengadakan lawatan kerja ke Bera, baru-baru ini.
Turut hadir YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah.
Hasidah Rani, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mengkarak, berkata, dia berasa bertuah apabila menerima telefon bimbit yang akan untuk belajar secara dalam talian.
Menurutnya, dia tidak menyangka menerima sumbangan berkenaan yang dianggap paling bermakna dalam meneruskan pelajaran terutama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
“Saya akan gunakan kemudahan telefon bimbit bagi persiapan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan dan amat berguna ketika ini apabila sesi persekolahan masih belum dibuka.
“Saya hanya mampu mengucapkan terima kasih pada kerajaan yang sentiasa prihatin terhadap pelajar Orang Asli,” katanya yang bercita-cita menjadi guru.
Rakannya, Phebe Elena J Murni, 15 yang belajar di SMK Rompin Permai, berkata: “Saiz telefon bimbit ni lebih besar dan akan memudahkan saya untuk belajar.”