PENGALAMAN di pentas antarabangsa menjadi taruhan atlet memanah Pahang, Muhammad Haiqal Danish Syamsul Affandi untuk meraih pingat emas pada saingan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 di Kuala Lumpur, September ini.
Katanya, walaupun cabaran pada SUKMA Kuala Lumpur begitu sengit, dia menaruh harapan tinggi merangkul pingat emas.
“Namun saya sedar ia bukan tugas mudah… tentangan sengit acara individu 70 meter pastinya datang daripada atlet Terangganu, Selangor, Sabah dan Sarawak,” katanya ditemui ketika mengadakan latihan di padang hoki Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), di sini, hari ini.
Dia yang kini sedang mengikuti latihan dikendalikan jurulatih Mohd Rizaini Pandak Mohd berkata, pada SUKMA Kuala Lumpur kali ini dia bersaing dalam tiga acara individu dan berpasukan iaitu 30 meter, 50 meter dan 70 meter.
Muhammad Haiqal Danish berkata, pada SUKMA Perak 2018 yang menjadi pentas pertama dia bersaing di gelanggang SUKMA, pingat emas dalam acara berpasukan berjaya dibawa pulang.
“Saya meletakkan harapan begitu tinggi untuk meraih pingat emas pada SUKMA Kuala Lumpur September depan dan pengalaman tiga tahun mewakili negara di pentas antarabangsa akan digunakan sepenuhnya.
“Semoga rakyat Pahang dapat mendoakan kejayaan saya dan pasukan memanah untuk membawa seberapa banyak pingat emas,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD