Muhyiddin, Takiyuddin perlu undur kata Ahmad Zahid Hamidi

Muhyiddin, Takiyuddin perlu undur kata Ahmad Zahid Hamidi

Helmy Abd Rahman

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: UMNO akan meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Sri Takiyuddin Hassan meletak jawatan secara terhormat.

Ini kerana kedua-dua pemimpin berkenaan telah mengingkari titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu semua Ordinan Darurat dibahaskan dan diungkaikan di Parlimen.

Presiden UMNO, Dato’ Sri Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua ahli Parlimen UMNO juga perlu menzahirkan dan melaksanakan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 7 Julai lalu.

“Keputusan ini bagi memenuhi sumpah jawatan selaku ahli Parlimen yang wajib menumpahkan taat setia kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan pada setiap masa.

“Pendirian ini juga seiring dengan asas dan matlamat penubuhan UMNO untuk sentiasa memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media, hari ini.

 Ahmad Zahid berkata, UMNO juga amat kesal dengan tindakan Kerajaan pimpinan Mahiaddin yang bukan sahaja mengingkari titah Baginda Tuanku, malah lebih mendukacitakan apabila Tuanku sendiri mendedahkan bahawa pembatalan Ordinan-ordinan Darurat seperti diumumkan Menteri Undang-Undang Isnin lalu di Parlimen, amat mengelirukan kerana hakikatnya belum lagi mendapat perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. 

“Tindakan ini jelas satu bentuk penderhakaan kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, bahkan membelakangi prinsip Perlembagaan Persekutuan,” katanya.