KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) sudah mengagihkan sebanyak RM1.1 juta bantuan awal penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman, berkata bantuan itu membabitkan pelbagai peringkat pengajian iaitu daripada sijil sepenuh masa hingga ke doktor falsafah (PhD).
Katanya, peringkat sijil layak menerima RM500 diikuti diploma (RM700), ijazah sarjana muda sepenuh masa (RM1,200) dan masing-masing RM1,500 untuk ijazah sarjana muda pengajian jarak jauh (PJJ) serta ijazah sarjana.
“Pelajar PhD bukan pengajian Islam dan bidang Islam pula masing-masing layak menerima RM3,000 dan RM5,000. Pendek kata, mahasiswa dalam apa juga bidang layak menerima bantuan awal pelajar IPT MUIP.
“Bantuan ini bertujuan bagi meringankan beban golongan pelajar yang berjaya melangkah ke menara gading dan boleh dipohon secara ‘online’,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Bantuan Awal Pelajar IPT kepada pelajar Universiti Islam Pahang Sultan Haji Ahmad Shah (UniPSAS), di sini, kelmarin. – MOHD IMRAN IZZAD