MUIP agih RM1.5 juta kepada pelajar miskin

MUIP agih RM1.5 juta kepada pelajar miskin

PEKAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengagihkan bantuan RM1.5 juta kepada murid fakir miskin di 513 sekolah rendah di negeri ini yang disalurkan menerusi Persatuan Ibu-Bapa Dan Guru (PIBG).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata sumbangan berkenaan digunakan bagi menampung keperluan makanan dan minuman murid di sekolah.

Selain itu, katanya, bantuan yang kali pertama diperkenalkan itu turut digunakan untuk menyediakan keperluan pembelajaran seperti alat tulis, pakaian, buku dan yuran persekolahan.

“Saya telah mengarahkan kepada pihak sekolah supaya bantuan terbabit turut digunakan untuk menyelesaikan yuran murid terbabit yang tertunggak sebelum ini.

“Penyerahan bantuan kini dilakukan secara berperingkat dan akan selesai selewat-lewatnya akhir bulan depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Bantuan Pelajar Miskin Daerah Pekan kepada 86 guru besar dan Yang Dipertua PIBG, di sini, semalam. – MOHD IMRAN IZZAD