MUIP agih RM107.2 juta kepada rakyat Pahang yang layak

MUIP agih RM107.2 juta kepada rakyat Pahang yang layak

KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengagihkan bantuan kewangan lebih RM107.2 juta kepada 137,524 penerima sepanjang tujuh bulan, tahun ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, bantuan kewangan terbanyak membabitkan pembiayaan zakat RM68.9 juta yang diagihkan kepada 103,219 penerima diikuti pendidikan lebih RM19.9 juta yang diterima oleh 16,720 pihak termasuk penuntut yang sedang belajar di pusat pengajian tinggi tempatan dan luar negara.

Menurutnya, pengurusan hal ehwal Islam membelanjakan RM12.8 juta yang diterima oleh 15,491 penerima, pembangunan asnaf lebih RM2.8 juta diberikan kepada 186 individu dan RM2.7 juta untuk pembangunan modal insan diterima oleh 1,908 individu.

Katanya, agihan bantuan kepada mereka yang memerlukan diberikan secara berterusan sepanjang tahun ini dan jumlahnya bertambah setiap tahun.

“Wang zakat yang dibayar oleh pembayar zakat di negeri perlu segera diagihkan dalam usaha membantu golongan yang layak dan memerlukan.

“MUIP dan Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang sentiasa berusaha memberi kesedaran kepada penduduk di negeri yang layak membayar zakat supaya berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan kepada Mohd Hairol Yusof, 43 yang diserang angin ahmar di Felda Bukit Goh, dekat sini, semalam. – MOHD IMRAN IZZAD