MUIP baik pulih 187 rumah asnaf sepanjang 2021

MUIP baik pulih 187 rumah asnaf sepanjang 2021

KUANTAN: Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) membelanjakan RM3.1 juta untuk membaik pulih sekurang-kurangnya 187 unit rumah asnaf di negeri ini, tahun lalu.

Turut dibelanjakan RM859,000 bagi tujuan membina sekurang-kurangnya 16 unit rumah baharu, setiap rumah berharga RM60,000 seunit.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, dijangkakan lebih banyak perbelanjaan akan dikeluarkan bagi tujuan membina dan baik pulih rumah golongan asnaf, tahun ini.

Menurutnya, bagi baik pulih rumah pihaknya menyediakan kira-kira RM15,000 bagi setiap rumah bergantung kepada kerosakan.

Katanya, 64 unit rumah dibaik pulih dengan perbelanjaan RM978,500 pada Februari 2021, diikuti 34 unit (RM462,230) pada Mac dan 24 unit (RM450,300) pada Oktober.

“Kita membina tujuh unit rumah baharu pada Oktober 2021 dengan perbelanjaan RM390,000 diikuti tiga unit (RM170,000) pada Ogos dan masing-masing dua unit (RM189,000) pada Mac serta November.

“MUIP menerima permohonan untuk membina dan baik pulih rumah daripada golongan asnaf seluruh negeri ini sepanjang tahun,” katanya selepas meninjau pembinaan rumah warga emas, Rahmah Ismail di Kampung Ubai, di sini, semalam. – MOHD IMRAN IZZAD